Tuesday, February 20, 2018

Pusat Anak Permata Langkawi ... Untuk Orang Pulau Langkawi Permata Kedah

Catatan: Mohd Asri Redha
Tarikh : 18 Feb 2018

Assalaamualaikum WRT... Selamat pagi buat semua yang masih mengikuti catatan-catatan santai saya dalam blog ini.. Lama juga tidak menulis dalam blog, kalut sana kalut sini, tak tau apa sangat yang dikalutkan.. semua nya hanya untuk keduniaan sahaja , kecuali kita niatkannya pekerjaan kita itu sebagai kerana Allah SWT iaitu niatkannya sebagai ibadat..


Pagi tadi telah berlangsung majlis perasmian Pusat Anak Permata Langkawi yang bertempat dalam kawasan kompleks LADA ini sendiri.  Ianya telah disempurnakan oleh YABhg Datin Seri  Rosmah Mansor Isteri kepada YAB Perdana Menteri Malaysia. LADA telah bermurahhati menyediakan  tempat untuk Pusat Anak Permata ini . Memandangkan ianya dibuat di kompleks LADA ini , mau tak mau LADA kena terlibat secara langsung dalam menjayakan majlis perasmian ini dengan kerjasama erat dari Bahagian Permata di Jabatan Perdana Menteri.

Ini merupakan satu lagi kejayaan bagi orang Pulau Langkawi kerana telah berjaya mengadakan Pusat Anak Permata ini di Langkawi. Bukan mudah untuk mendapat kemudahan ini kerana ramai negeri memohon ditambahkan projek Permata ini dinegeri masing-masing, kerana manfaat dari adanya PERMATA ini amatlah besar, khususnya bagi yang mempunyai anak-anak yang belum bersekolah. Macam saya ni tak adalah dapat apa-apa secara personalnya , cuma tolong bagi jadi saja projek ini untuk orang-orang lain yang memerlukan..

Besar belanjanya untuk buat  Pusat   PERMATA ini.. Kalau ditempatkan lain terpaksa cari tapak tanah , buat bangunan dan operasi. Belanjanya memang tinggi. Di LADA ini bangunannya sudah ada, cuma pihak Bahagian PERMATA bagi peruntukan buat ubahsuai sahaja berserta kelengkapan-kelengkapan  pembelajaran anak-anak PERMATA...  Ubahsuai inipun LADA juga yang uruskan.

Oleh itu penduduk Langkawi , datanglah ambil peluang ini kerana tempat adalah terhad. Hanya mampu mengisi anak-anak setakat 100 orang sahaja. Yurannya tidaklah sebanyak mana, malahan bagi yang berpendapatan rendah, dikecualikan dari yuran bulanan....

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Bahagian PERMATA  , JPM yang telah sudi mengadakan Program Anak Permata ini di Langkawi... Kesan dari pengujudan PERMATA ini akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat bila ianya mula beroperasi sepenuhnya .

Semasa cadangan untuk merasmikan Pusat Anak Permata ini saya agak khuatir kerana sepatutnya kerja-kerja 'renovation' bangunan sedia ada akan tamat pada bulan Mei nanti.. mana sempat untuk dirasmikan. Cadangan untuk ubah kedepan tarikh perasmian juga tidak dapat diberi kerana kesibukan YABhg Datin Seri ... Nasib menyebelahi LADA kerana kontraktor yang melaksanakan kerja ini telah dapat menyiapkannya dengan cepat dan atas jaminan semuanya akan siap sepenuhnya maka berlangsunglah majlis perasmian Pusat Anak Permata Langkawi pada 18 Feb 2018 ... Tetapi memang terok sikit la untuk membuat persiapan yang tergesa-gesa ini,  segala-galanya kena serentak bergerak... dan kekangan  masa pula disamping event yg berlangsung dalam musim perayaan Tahun Baru China... Saya terkejut juga dgn penarikan diri 2 caterer sediaan makanan disaat-saat akhir atas alasan kesuntukan masa dan sukar mendapat bekalan bahan mentah disebabkan ramai tutup kedai. Ini adalah antara cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh penganjur bagi memastikan program yang dirancang itu berjalan lancar.

Saya melihat dari aspek  pengurusan majlis ini juga telah berjaya dilaksanakan walaupun banyak halangan-halangan yang terpaksa ditempohi, tapi secara keseluruhannya ianya berjalan lancar dan memuaskan. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program yang amat bererti ini kepada penduduk Langkawi ini dan khususnya kepada kakitangan LADA sendiri.

Ketemu lagi dalam penulisan lain saya.. bye















Hari iNi Dalam Sejarah SKYCAB Langkawi.

Catatan.. Mohd Asri Redha
Tarikh.. 21 Feb. 2018


Assalaamualaikum WRT.... Hari ini saja saya paparkan keratan-keratan akhbar yang jelas menceritakan keadaan sebenarnya. 

Memang mengejutkan... itu yang saya rasa bila mendapat khabar berita kereta kabel Langkawi tersangkut... yakni terhenti  semasa sedang beroperasi.. Bila terhenti maknanya ada gondola yang tergantong diatas kabel tak bergerak-gerak..  Memang bagi yang tidak biasa akan panik.. tapi sebenarnya bukannya bahaya , kerana ianya bukan terputus kabel, cuma terhenti disebabkan kerosakan mekanikal.. Saya buat ulasan berkenaan kejadian ini kerana ianya melibatkan LADA juga kerana SkyCab Langkawi ini adalah dibawah anak syarikat milik penoh LADA  iaitu Panorama Langkawi Sdn Bhd. Apa-apa yang berlaku akan memberi kesan kepada LADA juga samada dalam bentok pendapatan kepada LADA dan imej LADA itu sendiri,.

Perkhidmatan kereta kabel untuk tujuan pelancongan memang berisiko tinggi. Ini kerana ianya melibatkan aspek2 teknikal yang amat rumit dan memerlukan tahap kemahiran yang tinggi dan semangat kental.. Sedikit kesilapan dan kecuaian boleh mengundang risiko yang amat tinggi iaitu risiko kematian dan kecederaan dan risiko kehilangan kepercayaan kepada perkhidmatan SkyCab Langkawi ini. Sebab itu keselamatan kereta kabel ini diberikan keutamaan tertinggi oleh syarikat dan penyelenggaraan setiap hari adalah amat diberi perhatian oleh Syarikat.

Untuk membaiki kerosakan bukan sesuatu yang mudah kerana ianya terletak ditempat yang tinggi dan tidak boleh dilalui oleh kenderaaan.. Kalau hendak diperbaiki kerosakan juruteknik akan bawa alat ganti hanya melalui jalan-jalan trek hutan yang curam sahaja iaitu dengan berjalan kaki.. Saya difahamkan untuk membawa alat ganti ke tempat yang rosak itu mengambil masa hampir 3 jam.. dan dalam keadaan gelap yang  tentunya merbahaya kerana banyak binatang buas seperti babi hutan dan ular dan sebagainya. Nasib menyebelahi kerana tidak ada hujan atau angin kuat pada sepanjang waktu kejadian tersebut. Jika ada hujan dan ribut , bertambah sukar untuk membawa alat ganti dan makin lama masa diambil untuk membaikiya dan semakin panik pada mereka yang berada dalam gondola yang tergantong beribu kaki dari paras daratan. Inilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat dan pasukan juruteknik terlibat.

Bila berlaku kejadian seperti ini dua perkara yang perlu diberi perhatian utama iaitu bagaimana hendak menyelamatkan mereka yang ada dalam gondola yang tergantong serta mereka yang  terperangkap diatas gunung sana untuk dibawa turun dan satu lagi ialah bagaimana untuk menangani isu kerosakan mekanikal yang berlaku itu.

Alhamdulillah , dengan tahap profesional kakitangan syarikat yang tinggi dan bantuan logistik dan tenaga dari agensi-agensi penyelamat, maka pada akhirnya segalanya dapat  diselesaikan pada hari itu juga walau sudah hampir tengah malam.. Tidak ada apa-apa kemalangan berlaku, segalanya berjalan lancar...

Kebajikan semua pengguna yang terlibat diberi perhatian sebaik mungkin dalam semua  aspek samada rawatan perubatan,  bekalan makanan, pengangkutan dan penginapan yang mana berkenaan. Saya harap perkhidmatan SkyCab ini akan berterusan sampai bila-bila dan masih menjadi tarikan utama pelancong ke Pulau Langkawi. Tidak ada apa yang hendak dirisaukan.. Tahap keselamatan kereta kabel ini dalah terbaik dan sentiasa diberi keutamaan samada oleh Syarikat Panorama Sdn Bhd ataupun syarikat yang membekalkan peralatan-peralatan SkyCab ini.

Semoga apa yang berlaku ini wajar diambil ikhtibar dan langkah-langkah penambahbaikan perlu diambil oleh Syarikat Panorama Sdn Bhd agar peristiwa seperti ini tidak berlaku lagi , atau kalau berlaku juga ianya dapat diselesaikan dalam masa yang lebih singkat lagi.

Ľ





Sebaik sahaja dibuka semula besok hari, pelawat berpusu-pusu datang untuk menaiki kereta kabel tersebut. 

Seolah-olah macam tidak ada apa yang berlaku sebelumnya. Ini membuktikan tahap kepercayaan 
pelancong kepada keselamatan Kereta Kabel ini adalah masih  tinggi..

Pihak Syarikat Panorama SB telah mengadakan majlis bacaan Yassin dan Doa Selamat /Kesyukuran atas 

selesainya masalah yang dihadapi itu .. Semua yang terlibat dalam operasi menyelamat 
telah dijemput untuk sama-sama mengucapkan kesyukuran atas kejayaan 
menyelesaikan kejadian tersebut.